Setiap pengusaha perniagaan semestinya mahu jenama mereka lebih menonjol di pasaran. Persaingan bagi pasaran industri makanan & minuman di Malaysia amat sengit walaupun terdapat permintaan yang tinggi. Tanpa strategi yang betul, meraih perhatian pelanggan untuk memilih perniagaan anda akan jadi lebih mencabar.
Selain daripada faktor rasa makanan, salah satu cara lain untuk menaikkan jenama restoran anda adalah dengan memberikan khidmat pelanggan yang bermutu.
Tidak dinafikan bahawa juadah yang enak sememangnya menjadi faktor utama pelanggan untuk berkunjung ke restoran. Namun, anda juga perlu mengutamakan mutu servis yang anda berikan kepada pelanggan kerana ia menentukan mood mereka sebelum mula menjamu selera.
Berdasarkan kajian Deloitte (2017), 60% pelanggan mengatakan pengalaman yang positif akan membuatkan mereka datang ke restoran tersebut lebih kerap.
Dengan mengutamakan pelanggan, anda boleh memberikan perkhidmatan pelanggan yang terhebat melalui 3 aspek:
- Visualisasi menu
- Automasi restoran
- Mengupah pekerja berkualiti
1. Visualisasi menu
Menu adalah perkara pertama yang pelanggan akan cari dan lihat sebaik sahaja melangkah masuk ke restoran anda.
Visual di dalam menu memainkan peranan yang penting dalam proses pesanan makanan pelanggan. Ini kerana gambar makanan di dalam menu anda akan dapat membuatkan pelanggan anda lebih teruja dan menaikkan selera mereka. Mereka akan tertarik untuk mencuba juadah-juadah yang nampak menarik di mata mereka, secara tidak langsung menaikkan jumlah pesanan.
Pernah dengar “dari mata jatuh ke hati”? Pepatah ini juga terpakai dalam bisnes makanan kerana persembahan juadah amat penting. Setelah melihat menu, pelanggan semestinya sudah membayangkan pesanan mereka untuk sampai seperti apa yang mereka lihat di dalam menu.
Oleh itu, anda harus memastikan juadah yang disediakan sampai seperti apa yang dipaparkan dalam menu supaya tidak mengecewakan harapan pelanggan.
Persembahan makanan yang menarik juga akan membuka selera pelanggan dan lebih menikmati juadah mereka. Kombinasi perut yang kenyang serta hati yang gembira dari servis anda pasti akan membuat hati pelanggan terpaut kepada restoran anda.
2. Automasi restoran
Pada zaman sekarang, pelanggan menginginkan servis yang cepat dan lancar. Mereka juga mahukan perkhidmatan yang fleksibel dari proses pemesanan hingga pembayaran.
Pengusaha restoran perlu berusaha untuk menambah baik operasi restoran mereka untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang terbaik. Dengan menerapkan automasi dalam operasi restoran anda, ia akan membantu untuk mempercepatkan servis dan menawarkan fleksibiliti kepada anda dan pelanggan.
Automasi restoran membantu menyelaraskan operasi anda, mengurangkan masa menunggu, dan meningkatkan kepuasan pelanggan.
Slurp! dan Getorders adalah antara contoh sistem automasi restoran yang melengkapkan elemen-elemen tersebut. Kedua-duanya direka untuk memudahkan operasi restoran selain memperkasakan pengalaman pelanggan. Slurp! dan Getorders boleh disepadukan dan menyediakan tetamu anda dengan proses makan yang mudah di hujung jari mereka.
Dengan menggunakan teknologi yang tepat dan bersesuaian dengan perniagaan anda, ia boleh membantu melonjakkan perniagaan anda dari segi servis yang bermutu sehinggalah menjana keuntungan.
3. Mengupah pekerja berkualiti
Pelayan adalah barisan hadapan dalam operasi restoran yang menghubungkan pelanggan dengan dapur kedai. Malah, mereka melambangkan imej restoran anda semasa melayan pelanggan-pelanggan. Oleh itu, layanan oleh pelayan anda sangat penting kerana ia menentukan baik buruknya pengalaman pelanggan di restoran anda.
Oleh kerana pelayan anda harus berinteraksi dengan tetamu bermula daripada proses pemesanan hingga pembayaran, sikap dan layanan pelayan anda memainkan peranan yang penting. Anda perlu memilih individu yang mesra, cekap, dan berpengetahuan untuk bekerja di ruang makan anda..
Satu kajian oleh Harvard Business School (2015) mendapati bahawa apabila hubungan emosi wujud antara restoran dan pelanggan mereka, nilai pelanggan boleh meningkat sehingga 27%.
Pelanggan akan berasa gembira dan berpuas hati apabila pelayan anda melayan mereka dengan baik dan ramah, terutama sekali jika mereka baru pertama kali datang ke restoran anda.
Mengambil pekerja yang berkelayakan akan membuatkan pelanggan anda berasa selesa makan di kedai anda. Anda boleh merujuk senarai soalan temuduga pelayan yang pernah kami tulis sebelum ini untuk mencari pelayan.
Selain itu, anda juga boleh lihat cara untuk mengekalkan pekerja anda dan membuat mereka gembira bekerja dengan anda. Ini akan membantu mengekalkan mutu perkhidmatan pelanggan di restoran anda.
Kesimpulan
Beri perhatian kepada 3 aspek di atas supaya kedai makan anda berjaya menawarkan layanan pelanggan yang berkualiti. Perkhidmatan pelanggan yang cemerlang akan menggalakkan pelanggan anda membantu untuk menaikkan reputasi perniagaan anda dalam jangka masa panjang.
Impresi yang baik yang terpahat dalam ingatan mereka membuatkan mereka lebih cenderung untuk mencadangkan kedai makan anda kepada rakan dan keluarga mereka, serta meningkatkan rating di laman-laman sosial.