Dalam era yang serba canggih ini, teknologi telah mengubah gaya hidup kita dari segala aspek. Dari segi pekerjaan, pengangkutan, pakaian, dan tidak ketinggalan juga aspek perbelanjaan.
Anda pasti sudah terbiasa melihat kod QR dipamerkan di kaunter untuk pembayaran tanpa tunai. Sebagai perkongsian kod QR adalah seperti gambar di bawah:
Anda mungkin sudah arif dengan kaedah pembayaran ini, tapi bagaimana pula dengan makcik dan pakcik dan golongan yang berumur? Mari kami kongsikan langkah-langkah untuk membimbing mereka untuk menggunakan pembayaran kod QR!
1. Beritahu kelebihan pembayaran kod QR
Pembayaran tanpa tunai bukan lagi asing dalam masyarakat kita. Malah, gerai-gerai makan di tepi jalan juga sudah mula menyediakan servis pembayaran tanpa tunai menggunakan Malaysia National QR.
Terlebih dahulu, terangkan kepada mereka kelebihan pembayaran menggunakan kod QR. Antaranya:
- Tak perlu lagi beratur di ATM untuk keluarkan duit
- Tak perlu keluarkan dompet di tempat awam
- Mengurangkan risiko kecurian wang
2. Bantu mereka muat turun aplikasi bank
Soal bank yang mereka gunakan dan bantu memuat turun aplikasi di dalam telefon pintar mereka.
Kemudian, minta dan pantau mereka untuk mengisi maklumat peribadi sewaktu proses pendaftaran di dalam aplikasi. Mereka mungkin perlukan bantuan untuk mengalih bahasa atau memahami ciri-ciri di dalam aplikasi bank tersebut.
Jangan lupa! Ingatkan mereka untuk tidak berkongsi maklumat peribadi mereka seperti kata laluan, nombor OTP, dan jumlah baki mereka dengan sesiapa.
Jika mereka perlu mencatat kata laluan, pastikan ia disimpan di tempat yang selamat.
3. Mula imbas
CIMB Clicks
MAE by Maybank2U
Bank Islam
Langkah ini lebih mudah jika dilakukan semasa membuat pembayaran di kaunter di mana mereka boleh mengimbas kod QR.
Anda boleh menggunakan kod QR di aplikasi bank anda dahulu untuk mereka cuba cara memindahkan wang. Jangan mengambil kesempatan untuk ‘songlap’ duit mereka pula!
Tunjukkan mereka butang QR atau DuitNow QR di aplikasi bank mereka. Ciri ini sudah dimasukkan di dalam setiap aplikasi bank utama di Malaysia seperti MAE Maybank, CIMB Clicks, dan Bank Islam.
4. Mula imbas kod QR
Selepas menekan butang, beritahu mereka kamera akan terbuka secara automatik. Bantu mereka menghalakan kamera telefon mereka pada kod QR di kaunter.
Jika kod QR berjaya diimbas, aplikasi bank akan beralih kepada jumlah pembayaran. Selepas memasukkan jumlah, beritahu mereka untuk memilih jenis akaun pilihan mereka.
Ingatkan mereka untuk memilih akaun dan memasukkan amaun yang tepat untuk mengelakkan masalah pembayaran. Kemudian, tekan Pay Now atau Bayar Sekarang.
Selain itu, mereka juga boleh menggunakan fungsi ‘show QR code’. Beritahu mereka fungsi ini akan memaparkan Kod QR mereka pada skrin untuk juruwang imbas bagi proses pembayaran. Jumlah akan ditolak secara automatik kerana sistem kedai telah menetapkan jumlah tersebut terlebih dahulu.
5. Selesai!
Anda kini selesai mengajar pakcik dan makcik anda menggunakan pembayaran QR. Mereka mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan pembayaran QR apabila mereka mula menggunakannya dalam situasi sebenar, jadi anda perlu bersabar dan bimbing mereka.
Selamat maju jaya!