Makanan di kedai anda laku dan sentiasa ‘sold out’ sebelum masa operasi tamat, tapi pelik kenapa untung tak sebanyak yang dijangka?
Bisnes F&B memang nampak mudah tetapi bukan mudah untuk memastikan bisnes ‘kekal hidup’ bertahun-tahun. Tahukah anda harga jualan makanan memainkan peranan yang penting dalam kejayaan sesebuah kedai makan?
Terdapat banyak kaedah pengiraan dalam menentukan harga jualan makanan namun tiada kaedah yang ‘one size fits all’. Ianya bergantung kepada pelbagai faktor seperti perbandingan harga yang kompetitif serta jenis target pasaran anda.
Bagaimana nak tentukan harga jualan makanan dengan wajar? Jom lihat kaedah umum pengiraan penetapan harga makanan yang bisnes anda boleh praktikkan.
1. Kaedah kiraan margin kasar daripada kos makanan

Kaedah pertama dalam menentukan harga makanan ialah mengira margin kasar daripada kos bahan mentah yang akan digunakan untuk membuat satu hidangan.
Anda perlu tentukan peratusan margin kasar yang diingini, seeloknya antara 65% hingga 75% daripada kos makanan.
Selepas membuat mengenal pasti kos bahan mentah yang digunakan dan mendapat jumlah kos bahan untuk satu menu, katakan anda inginkan margin kasar 70%, lakukan operasi tolak 100% – 70% = 30%, kemudian bahagikan kos tadi dengan hasil peratus yang ditolak, hasil operasi bahagi ini merupakan harga makanan tersebut.
Berikut merupakan contoh pengiraan mengikut kaedah kiraan kos makanan :
|
Kos makanan / (100% – margin kasar yang dikehendaki = Harga satu satu hidangan. Kos makanan (RM3) / (100% – 70%) = Harga satu hidangan RM10 |
Berdasarkan pengiraan kos makanan, harga minimum untuk satu hidangan yang boleh ditetapkan ialah RM10.00 sepinggan.
2. Kaedah kiraan kos pengeluaran

Kaedah kiraan kos pengeluaran mempunyai cara pengiraan yang lebih kurang sama dengan kiraan kos makanan cuma kaedah kiraan kos pengeluaran ini memerlukan anda untuk mencampurkan sekali dengan semua kos penyediaan lain.
Antara kos yang perlu diambil kira ialah kos upah, kos utiliti, kos kekurangan hasil dan kos-kos yang lain yang terlibat berbanding dengan kaedah pengiraan kos makanan dimana anda hanya ambil kira kos bahan mentah yang digunakan.
Secara am, kos kekurangan hasil merupakan kos yang mungkin berlaku tanpa pengetahuan seperti bahan tertumpah atau kesilapan masakan. Walaupun jarang berlaku tetapi sekiranya ia berlaku, ianya adalah lebih baik untuk mengambil kira sekali kos tersebut dan tetapkan ia pada 5% dari kos keseluruhan.
Berikut merupakan contoh pengiraan mengikut kaedah kiraan kos pengeluaran:
| No | Item | Harga |
| 1 | Bahan Mentah | RM 1.30 |
| 2 | Utiliti (Gas) | RM0.20 |
| 3 | Upah (Tukang masak) | RM0.50 |
| Jumlah Kos | RM2.00 | |
| Kos Kekurangan Hasil (5%) | RM0.10 | |
| Jumlah Kos Sebenar | RM2.10 | |
| Harga Jualan | RM6.00 | |
| Kos Pengeluaran | 35% | |
| Untung | RM3.90 | |
| Margin Keuntungan | 65% | |
3. Kaedah kiraan markup

Kaedah kiraan markup berbeza dengan kaedah kiraan kos makanan dan kos pengeluaran. Kos markup ditentukan dengan membahagikan peratusan markup yang anda inginkan dengan 100.
Anda tentukan kos makanan dan darabkab kos makanan tersebut dengan jawapan yang anda peroleh di atas.
Seterusnya untuk mencari harga jualan anda perlu tambahkan kos menu anda seunit dengan hasil kiraan yang telah anda lakukan sebentar tadi.
Berikut merupakan contoh pengiraan mengikut kaedah kiraan markup:
| Peratus markup dikehendaki = 200%
Kos makanan: RM2.00 Kiraan A = 200/100 = 2 Kiraan B = 2 X RM2.00 = RM4.00 Harga Jualan = Kiraan B (RM4.00) + kos makanan (RM2.00) = RM6.00 |
Berdasarkan pengiraan markup, minimum harga yang kedai anda boleh letak sebagai harga jualan ialah RM6.00. Ini adalah untuk memastikan supaya anda dapat mengekalkan peratus markup 200%, yang mana peratusan yang sihat ialah 200% ke 300%.
Akhir Kata

Berdasarkan semua kaedah di atas, penting untuk memahami situasi kewangan perniagaan anda untuk menentukan kaedah mana yang perlu digunakan.
Terdapat kaedah yang perlu dilihat semua aspek sebelum dapat menentukan harga dan terdapat kaedah yang hanya melihat satu aspek dimana lebih sesuai digunakan di kedai makan yang masih baru dan saiz operasi yang kecil.
Harga makanan yang terlalu mahal boleh menjejaskan kunjungan orang ramai ke kedai anda tetapi jika meletakan harga makanan terlalu murah juga boleh menjejaskan dari segi kewangan kedai makan anda.
Jadi tentukan harga jualan yang berpatutan dengan tips ini dan pastikan juga anda memberi servis yang terbaik supaya dapat membantu perniagaan anda mendapat kunjungan dan keuntungan yang berbaloi.
Dapatkan sistem POS untuk kedai makan anda! Gunakan Slurp! dan rasakan perubahan dalam operasi harian kedai makan anda hari ini! Cuba Slurp!


